Monday, 28 December 2015

KEPENTINGAN MEDIA SOSIAL DALAM PERNIAGAAN


Kejayaan penglibatan dalam perniagaan atas talian bergantung kepada beberapa perkara selain modal wang, infrastruktur serta kesediaan bekalan barangan dan perkhidmatan. Satu perkara yang penting bersifat bukan material iaitu tingkah laku inovatif yang berupaya membentuk hubungan perniagaan dengan pelbagai pihak dari ahli keluarga, rakan, pelanggan, agen dan pembekal kepada pesaing. Oleh itu, hubungan jaringan sosial adalah suatu hal yang penting dalam keusahawanan kerana ianya dapat meluaskan pemasaran produk yang ditawarkan serta mengenal pasti peluang bagi mendapatkan sumber. Hubungan sosial turut dianggap penting dalam perniagaan atas talian terutama dari segi pembentukan reputasi perniagaan yang baik dan hubungan perniagaan yang dimanfaatkan dengan ejen perniagaan. Terdapat beberapa faktor mudah yang menjadikan laman sosial merupakan perkara penting dalam perniagaan.


 Potential customer


Di antaranya ialah jualan akan menjadi lebih mudah apabila terdapat banyak ‘potential customer’. Di mana banyak orang, di situ banyak peluang jualan akan berlaku. Bayangkan jika anda membuka kedai di lorong-lorong kecil jalan yang terletak di bahagian belakang dan jauh dari pandangan orang ramai, sudah tentu jualan anda sedikit. Oleh sebab itu banyak kedai-kedai besar dan berjenama seperti Jusco dan Tesco memilih untuk membuka cawangan mereka di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang besar. Sama juga seperti laman sosial yang mempunyai ramai pengguna. Hal ini akan  membuka peluang jualan yang lebih besar kepada pengusaha jualan atau peniaga. Jika dilihat, bukan peniaga-peniaga kecil sahaja yang menggunakan media sosial untuk aktiviti pemasaran mereka, malah syarikat-syarikat besar juga tidak ketinggalan untuk menggunakan media sosial untuk aktiviti pemasaran mereka.

Kebolehlihatan


Senario hari ini, pendekatan media sosial menjadi fenomena dan penting kepada persekitaran perniagaan.Teknologi pemasaran melalui media sosial boleh digunapakai oleh usahawan  bagi memastikan aktiviti pemasaran khususnya dapat dipertingkatkan. Secara tidak langsung ia dijangka memberikan kesan positif kepada kebolehlihatan syarikat usahawan terbabit menggunakan medium media sosial. Tambahan lagi, faktor kebolehlihatan sesebuah laman media sosial syarikat adalah bergantung kepada maklumat dan isu yang dilontarkan pada laman media sosial tersebut. Menurut Mohd Hafizie Suhaimi & Norshuhada Shiratuddin (2013) maklumat yang pertama dilihat oleh pelanggan adalah berkaitan jenama, produk atau perkhidmatan yang berkaitan dengan syarikat tersebut tawarkan. Selain itu, mereka juga menyentuh lima elemen iaitu interaksi, perhubung pautan, pengaruh, penganjuran dan kesan. Ukuran boleh dibuat melalui pengiraan  pengikut  dan  jumlah  pelawat  dan  jumlah  pelawat  atau  kepuasan pelanggan.Sebagai contoh penggunaan blog bagi sesetengah syarikat di kalangan usahawan yang menekankan kepada bilangan capaian trafik pada setiap hari. Ini adalah penting bagi memastikan sama ada kebolehlihatan blog tersebut wujud di kalangan pengguna internet.


strategi utama untuk berjaya dan lebih terkehadapan adalah berdasarkan kualiti maklumat, kualiti sistem dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan menerusi platfom ini. Pengguna akan berubah daripada pelawat biasa kepada pengguna yang setia disebabkan beberapa faktor yang disebutkan di atas. Oleh itu, faktor kebolehlihatan boleh memberi impak yang besar kepada usahawan melalui penggunaan aplikasi media sosial sebagai alat pemasaran yang kompetetif.


Pemasaran


Media sosial merupakan jaringan rangkaian sosial yang penting kepada industri perniagaan kerana ia akan mempengaruhi strategi setiap perniagaan apabila peniaga menggunakan media sosial sebagai cara pemasaran.  Pemasaran menggunakan media sosial lebih berkesan berbanding dengan pemasaran cara tradisional kerana dengan media sosial sesuatu produk atau perkhidmatan boleh diiklankan dengan mudah dan cepat tersebar sebagai contoh peniaga membayar untuk iklan di Facebook dengan pengguna Facebook seramai 750 juta orang ini akan memberi kesan yang positif kepada perniagaan dan jika produk atau perkhidmatan yang ditawarkan itu baik pengguna facebook mungkin akan menyebarkannya kepada rangkaian sosial lain seperti Twitter, Instagram dan ia akan menjadi pemasaran percuma kepada perniagaan tersebut kerana ia telah tersebar kepada rangkaian sosial yang lain sedangkan peniaga hanya membayar untuk iklan di Facebook.  Ia juga lebih berkesan berbanding dengan cara tradisional kerana peniaga tidak perlu untuk pergi ke sesuatu tempat atau berjumpa dengan pelanggan sasaran untuk memasarkan produk atau perkhidmatan yang disediakan kerana produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh perniagaan tersebut diiklankan dalam laman web dunia siber yang mempunyai bilangan laman web luaran yang berpaut pada laman web tersebut dengan banyak dan akan dapat dilihat oleh sebanyak mungkin pengguna laman web tersebut dan laman web pautan.  Cara pemasaran di dalam media sosial juga semakin digemari oleh pengguna kerana memberi banyak faedah kepada pengguna seperti menjimatkan masa dan kos kerana tidak perlu untuk pergi ke sesuatu tempat untuk mendapatkan produk.  Pengguna juga boleh memiih produk yang terbaik dan boleh membeli produk dari serata dunia dengan menggunakan media sosial.

No comments:

Post a Comment