Monday, 28 December 2015

PENGENALAN


Seiring dengan perkembangan teknologi internet dan telefon bimbit yang semakin maju pada masa kini,media sosial turut menerima kesan apabila membangun dengan pesat.  Media sosial merupakan platform interaksi sosial yang melibatkan satu cabang komunikasi baharu yang terhasil daripada persekitaran komunikasi yang biasa.  Rangkaian komunikasi menerusi media sosial adalah tidak terbatas. Fenomena ini telah mengubah cara perhubungan yang berbeza di dalam organisasi, komuniti dan individu itu sendiri berinteraksi antara satu sama lain. Media sosial merupakan jaringan maya yang disediakan kepada pengguna untuk menyatakan pendapat, bertukar buah fikiran, dan dapat menghantar serta mengawal mesej yang akan disampaikan di mana jua pada bila-bila masa. Perubahan tatacara komunikasi ini menunjukkan satu revolusi yang berlaku terhadap bidang komunikasi di dunia pada masa ini.  Media sosial juga mempunyai peranan yang sangat penting terhadap organisasi, kumpulan individu untuk berhubung khususnya.

Pada masa kini, penggunaaan media sosial dalam kehidupan seharian semakin meluas tidak hanya terhad kepada perhubungan semata-mata.  Aplikasi media sosial telah digunakan dalam pelbagai sektor seperti pentadbiran, pendidikan dan terutamanya dalam sektor perniagaan.  Kemampuan untuk mengakses media sosial melalui aplikasi mudah alih ( mobile web) merupakan faktor pendorong dalam kejayaan media sosial.  Hal ini kerana ia memiliki kualiti capaian maklumat yang maksimum walaupun diakses melalui telefon pintar.

SEJARAH DAN EVOLUSI MEDIA SOSIAL


Perkembangan pesat media sosial pada hari ini bermula pada tahun 1971 apabila para penyelidik ARPA (Advanced Research Project Agency) telah membuat penghantaran surat secara elektronik dan pada tahun 1978  Ward Christensen dan Randy Suess telah menemui sistem papan buletin.


1995
·       Kewujudan Geocities merupakan laman Web Hosting iaitu laman website yang boleh diakses dari mana – mana.


1997
·         Muncul laman sosial pertama iaitu Sixdegree.com


1998
·       Friends Reunited telah wujud tetapi lenyap setelah pengaruhnya semakin berkurangan akibat kemunculan laman sosial lain seperti Facebook.  Ketika Facebook baru muncul, laman sosial ini mempunyai 15 juta pengguna tetapi dijual akhinya apabila tidak dapat bersaing dengan Facebook.


1999
·       Perkembangan media sosial semakin pesat apabila munculnya Blogger iaitu blog peribadi dimana pengguna boleh memasukkan segala hal yang berlaku samada hal peribadi atau lain-lain perkara.  Ia juga membolehkan pengguna membuat laman web sendiri mengikut kreativiti.


2002
·       Friendster telah menjadi ledakan kepada media sosial pada tahun tersebut.  Ini kerana dengan laman sosial ini pengguna dapat berhubung dengan pengguna seluruh dunia dan mempunyai 20 juta pengguna tetapi semakin berkurangan apabila konsepnya ditiru oleh Mysspace dan Facebook.


2003
·       Kemunculan LinkedIn yang mempunyai fungsi lain selain dari untuk bersosial kerana ia membolehkan pengguna mencari pekerjaan dengan media sosial ini yang menunjukkan fungsi media sosial semakin berkembang.


·       Pada tahun yang sama juga, muncul satu lagi laman sosial dikenali MySpace yang dikatakan jaringan laman sosial yang user friendly.


2004
·       Kemunculan facebook yang diasaskan oleh pemuda bernama Mark Zuckerberg.  Facebook bermula hanya dari jaringan antara pelajar universiti tetapi setelah ia diperkenalkan kepada umum facebook menjadi laman sosial yang terkenal dan paling ramai pengguna iaitu kira-kira 750 juta pengguna yang aktif pada masa kini.  Ini disebabkan kepelbagaian fungsi yang terdapat pada facebook seperti pengiklanan, jualan atas talian yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai golongan terumatanya golongan peniaga. Terdapat banyak syarikat yang berminat dengan Facebook kerana laman sosial ini merupakan fenomena pada masa kini serta mempunyai pengguna yang biasa bertambah dari hari ke sehari.  Ini menyebabkan Microsoft telah membeli 1.6 % saham facebook yang bernilai USD 15 juta untuk membolehkan Microsoft mempunyai hak memasang iklan di laman sosial tersebut.


2006
·       Media sosial terus berkembang pesat dari tahun ke tahun,  pada tahun 2006 muncul satu laman sosial atau jaringan sosial yang dikenali sebagai Twitter iaitu laman sosial yang berbeza sama sekali dengan facebook ataupun laman sosial yang lain kerana Twitter hanya boleh mengemaskini status dan hanya terhad kepada 140 patah perkataan.


2007
·       Pada 22  April dilancarkan Wiser bersempena dengan Hari Bumi.  Laman sosial ini dilancarkan supaya boleh menjadi satu direktori secara talian/online organisasi alam sekitar seluruh dunia termasuk aktiviti berkenaan alam sekitar secara individu mahupun berkumpulan.


2011
·       Google + merupakan salah satu usaha Google Inc untuk menyaingi  jaringan sosial Facebook yang sehingga kini mempunyai pengguna paling ramai berbanding dengan rangkaian sosial yang lain.  Google + telah dilancarkan pada 28 Jun 2011. Banyak ciri-ciri baru yang terdapat pada laman sosial ini seperti Hangouts,Circles, Sparks dan Huddles. Ia juga disediakan dengan pelbagai aplikasi desktop dan aplilasi telefon bimbit tetapi hanya pada android dan sistem operasi IOS.


Sejarah  dan evolusi media sosial berkembang semakin pantas apabila semakin ramai penduduk dunia menggunakan internet.  Sehingga ini data menunjukkan pengguna internet dunia dijangka mencapai 1.97 bilion atau hampir 30 peratus daripada keseluruhan penduduk dunia.

KEPENTINGAN MEDIA SOSIAL DALAM PERNIAGAAN


Kejayaan penglibatan dalam perniagaan atas talian bergantung kepada beberapa perkara selain modal wang, infrastruktur serta kesediaan bekalan barangan dan perkhidmatan. Satu perkara yang penting bersifat bukan material iaitu tingkah laku inovatif yang berupaya membentuk hubungan perniagaan dengan pelbagai pihak dari ahli keluarga, rakan, pelanggan, agen dan pembekal kepada pesaing. Oleh itu, hubungan jaringan sosial adalah suatu hal yang penting dalam keusahawanan kerana ianya dapat meluaskan pemasaran produk yang ditawarkan serta mengenal pasti peluang bagi mendapatkan sumber. Hubungan sosial turut dianggap penting dalam perniagaan atas talian terutama dari segi pembentukan reputasi perniagaan yang baik dan hubungan perniagaan yang dimanfaatkan dengan ejen perniagaan. Terdapat beberapa faktor mudah yang menjadikan laman sosial merupakan perkara penting dalam perniagaan.


 Potential customer


Di antaranya ialah jualan akan menjadi lebih mudah apabila terdapat banyak ‘potential customer’. Di mana banyak orang, di situ banyak peluang jualan akan berlaku. Bayangkan jika anda membuka kedai di lorong-lorong kecil jalan yang terletak di bahagian belakang dan jauh dari pandangan orang ramai, sudah tentu jualan anda sedikit. Oleh sebab itu banyak kedai-kedai besar dan berjenama seperti Jusco dan Tesco memilih untuk membuka cawangan mereka di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang besar. Sama juga seperti laman sosial yang mempunyai ramai pengguna. Hal ini akan  membuka peluang jualan yang lebih besar kepada pengusaha jualan atau peniaga. Jika dilihat, bukan peniaga-peniaga kecil sahaja yang menggunakan media sosial untuk aktiviti pemasaran mereka, malah syarikat-syarikat besar juga tidak ketinggalan untuk menggunakan media sosial untuk aktiviti pemasaran mereka.

Kebolehlihatan


Senario hari ini, pendekatan media sosial menjadi fenomena dan penting kepada persekitaran perniagaan.Teknologi pemasaran melalui media sosial boleh digunapakai oleh usahawan  bagi memastikan aktiviti pemasaran khususnya dapat dipertingkatkan. Secara tidak langsung ia dijangka memberikan kesan positif kepada kebolehlihatan syarikat usahawan terbabit menggunakan medium media sosial. Tambahan lagi, faktor kebolehlihatan sesebuah laman media sosial syarikat adalah bergantung kepada maklumat dan isu yang dilontarkan pada laman media sosial tersebut. Menurut Mohd Hafizie Suhaimi & Norshuhada Shiratuddin (2013) maklumat yang pertama dilihat oleh pelanggan adalah berkaitan jenama, produk atau perkhidmatan yang berkaitan dengan syarikat tersebut tawarkan. Selain itu, mereka juga menyentuh lima elemen iaitu interaksi, perhubung pautan, pengaruh, penganjuran dan kesan. Ukuran boleh dibuat melalui pengiraan  pengikut  dan  jumlah  pelawat  dan  jumlah  pelawat  atau  kepuasan pelanggan.Sebagai contoh penggunaan blog bagi sesetengah syarikat di kalangan usahawan yang menekankan kepada bilangan capaian trafik pada setiap hari. Ini adalah penting bagi memastikan sama ada kebolehlihatan blog tersebut wujud di kalangan pengguna internet.


strategi utama untuk berjaya dan lebih terkehadapan adalah berdasarkan kualiti maklumat, kualiti sistem dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan menerusi platfom ini. Pengguna akan berubah daripada pelawat biasa kepada pengguna yang setia disebabkan beberapa faktor yang disebutkan di atas. Oleh itu, faktor kebolehlihatan boleh memberi impak yang besar kepada usahawan melalui penggunaan aplikasi media sosial sebagai alat pemasaran yang kompetetif.


Pemasaran


Media sosial merupakan jaringan rangkaian sosial yang penting kepada industri perniagaan kerana ia akan mempengaruhi strategi setiap perniagaan apabila peniaga menggunakan media sosial sebagai cara pemasaran.  Pemasaran menggunakan media sosial lebih berkesan berbanding dengan pemasaran cara tradisional kerana dengan media sosial sesuatu produk atau perkhidmatan boleh diiklankan dengan mudah dan cepat tersebar sebagai contoh peniaga membayar untuk iklan di Facebook dengan pengguna Facebook seramai 750 juta orang ini akan memberi kesan yang positif kepada perniagaan dan jika produk atau perkhidmatan yang ditawarkan itu baik pengguna facebook mungkin akan menyebarkannya kepada rangkaian sosial lain seperti Twitter, Instagram dan ia akan menjadi pemasaran percuma kepada perniagaan tersebut kerana ia telah tersebar kepada rangkaian sosial yang lain sedangkan peniaga hanya membayar untuk iklan di Facebook.  Ia juga lebih berkesan berbanding dengan cara tradisional kerana peniaga tidak perlu untuk pergi ke sesuatu tempat atau berjumpa dengan pelanggan sasaran untuk memasarkan produk atau perkhidmatan yang disediakan kerana produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh perniagaan tersebut diiklankan dalam laman web dunia siber yang mempunyai bilangan laman web luaran yang berpaut pada laman web tersebut dengan banyak dan akan dapat dilihat oleh sebanyak mungkin pengguna laman web tersebut dan laman web pautan.  Cara pemasaran di dalam media sosial juga semakin digemari oleh pengguna kerana memberi banyak faedah kepada pengguna seperti menjimatkan masa dan kos kerana tidak perlu untuk pergi ke sesuatu tempat untuk mendapatkan produk.  Pengguna juga boleh memiih produk yang terbaik dan boleh membeli produk dari serata dunia dengan menggunakan media sosial.

PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL DALAM PERNIAGAAN SECARA GLOBAL


Pada dasarnya media sosial muncul dengan tiba-tiba dan membentuk satu reputasi yang menjadi kegilaan yang sementara.Ini bermakna banyak perniagaan yang  nampak atau berminat dengan keuntungan dan faedah yang boleh diperolehi daripada platform media sosial yang popular tetapi kurang pemahaman termasuklah cara-cara untuk mendapat keuntungan daripada media sosial lazimnya boleh menjadi kerugian besar kepada syarikat-syarikat kecil. Penggunaan media sosial dalam perniagaan secara global semakin berkembang pesat dan meluas, ia dapat dilihat apabila banyak perniagaan telah menjadikan media sosial sebagai platform dalam menjalankan perniagaan. 


Ini kerana dengan media sosial  segala urusan perniagaan kini semakin mudah, dengan hanya satu klik pengguna akan mendapatkan pelbagai maklumat yang diperlukan. Pengguna juga boleh menggunakan produk dari serata dunia dengan hanya menggunakan media sosial contohnya mencari hotel di luar negara menggunakan laman web seperti Agoda.com dan seterusnya membuat pembayaran juga secara atas talian.  Selain dari itu, pengguna akan dapat membeli produk dengan lebih murah apabila media sosial digunakan dalam perniagaan global kerana terus berhubung dengan pengeluar produk tersebut sebagai contoh dengan menggunakan laman web E-bay pengguna dapat memiliki harga sebuah jam tangan berjenama G-shock dengan lebih murah berbanding dengan harga yang ditawarkan di Malaysia.  Ini membuktikan media sosial dalam perniagaan global telah digunakan secara meluas.

TAHAP PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL DALAM PERNIAGAAN DI MALAYSIA


            Sejajar dengan perkembangan media sosial yang menjadi antara medium yang penting dalam bidang perniagaan maka perniagaan di Malaysia juga tidak terkecuali dalam memastikan media sosial sebagai salah satu cara dalam memperkenalkan,mengembangkan atau memasarkan sesuatu produk dalam perniagaaan.  Ini dapat dilihat apabila ramai penjual-penjual di atas talian muncul bak cendawan tumbuh baik secara sambilan atau tetap di dalam media sosial yang mempromosikan segala jenis perniagaan.  Ia menjadi medium paling mudah dalam menjalankan perniagaan kerana mengikut statistik seramai 12 juta  juta penduduk di Malaysia mempunyai Facebook tambahan pula rakyat Malaysia mempunyai purata jumlah rakan Facebook yang paling tinggi di dunia dan meluangkan masa paling banyak di laman sosial ini menyebabkan tahap penggunaan dalam perniagaan di Malaysia begitu pesat berkembang. Salah satu perniagaan yang berkembang dengan pesat kerana penggunaan media sosial ialah Zawara.

ZAWARA


Zawara merupakan perniagaan berkonsepkan fesyen muslimah yang anggun dan sopan.  Perniagaan  Zawara pada mulanya merupakan perniagaaan di atas talian yang telah bermula pada bulan Jun 2012.  Perniagaan ini telah diasaskan oleh seorang usahawan muda iaitu Dilla Abd Karim iaitu seorang lulusan universiti luar negara tetapi lebih berminat untuk berniaga dan telah  menjadikan media sosial sebagai medium dalam menjalankan perniagaannya.  Perniagaan  usahawan muda ini hanya bermula dengan menjual sejenis pakaian sahaja iaitu blaus yang berharga RM 99.00 pada mulanya tetapi dek kerana kepesatan ledakan media sosial beliau telah berjaya menempa nama sehingga mampu membuka butiknya yang pertama di Busana @ Menara Mara, Kuala Lumpur.  Butik Zawara semakin berkembang maju apabila kini mempunyai 19 cawangan di seluruh negara dan produk yang telah dijual juga semakin pelbagai apabila perniagaan ini telah memperkenalkan produk baru iaitu kasut wanita. Media sosial telah melonjakkan perniagaan Zawara ,sebagai bukti di laman sosial Facebook Zawara mendapat 472,000 likes manakala pengikut Zawara di Instagram adalah seramai 128,000 followers dan tidak ketinggalan juga di Youtube iaitu seramai 8000 subscribers.

CABARAN DAN HALANGAN PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL DI MALAYSIA


Media sosial antara medium komunikasi paling hangat pada abad ini sehingga sudah menjadi sebahagian keutamaan hidup. Bilangan pengguna Internet di Malaysia dijangka meningkat kepada 25 juta orang menjelang 2015 berbanding 18 juta pada 2012, demikian menurut Laporan Ekonomi 2013/2014 dikeluarkan Kementerian Kewangan. Menurut laporan itu, kadar penembusan jalur lebar isi rumah pula meningkat kepada 66.8 peratus pada akhir Jun 2013 manakala kadar penembusan telefon mudah alih melebihi 100 peratus, kini terdapat 42.6 juta langganan. Namun yang demikian, keterlaluan penggunaan media sosial mempunyai cabaran dan halangan yang tersendiri. Contohnya ia dapat menyebabkan ibu bapa dan anak kurang mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang dan berdamping antara satu sama lain. Keadaan ini menyebabkan remaja membawa cara hidup sendiri tanpa panduan dan pengawasan ibu bapa. Keluarga yang terlalu mewah cara hidupnya juga menyebabkan keruntuhan disiplin remaja. Cara menangani kesan media sosial adalah melalui pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan.  Selain itu terdapat juga halangan dan cabaran lain seperti

 Kerahsiaan

Selain itu juga, kebanyakan perkhidmatan rangkaian sosial menyediakan ruang bagi penggunanya untuk meletakkan maklumat peribadi seperti nama penuh, alamat rumah, nombor telefon dan maklumat penting yang lain. Ciri yang asalnya bertujuan membantu memudahkan pengguna satu-satu perkhidmatan rangkaian sosial berkenalan dan berhubung telah secara tidak langsung mendedahkannya kepada risiko kecurian maklumat pengguna oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.  Kerahsiaan adalah aspek yang penting yang perlu ditekankan dalam keselamatan komputer. Sistem komputer yang digunakan telah dilengkapi dengan sistem pengendalian yang boleh mengelakkan pengguna daripada memasuki rangkaian sistem pihak lain samaada secara sengaja ataupun tidak
sengaja.  Sumber komputer dapat dicapai dan disediakan tanpa mengira kedudukan geografi dunia.  Oleh yang demikian, pihak kerajaan perlu mengetatkan undang-undang dan peraturan terhadap segala kegiatan penyalahgunaan media sosial.

 Penipuan

Penipuan di laman media sosial juga banyak terjadi tidak terkecuali juga penipuan yang melibatkan perniagaan.  Perkara ini akan terjadi apabila terdapat pihak yang tidak jujur di dalam urusniaga kerana apabila perniagaan secara atas talian memerlukan kepercayaan kedua-dua pihak iaitu pembeli dan penjual.  Perkara ini berlaku apabila terdapat penjual yang ingin keuntungan yang mudah apabila menipu pembeli apabila barangan yang dijual tidak seperti yang diiklankan.  Pihak penjual juga ada risiko ditipu oleh pembeli apabila pembeli menipu penjual dengan mengubah resit bayaran untuk mendapatkan barangan secara percuma.  Banyak kes yang telah berlaku dan dilaporkan oleh media massa tetapi perkara seperti ini tetap wujud apabila ada golongan yang cuba mengambil kesempatan di atas kelemahan manusia dan tenologi.

Jenayah siber


Tidak keterlaluan jika dikatakan pada masa kini hampir semua perniagaan mengeksplotasikan media sosial secara menyeluruh.  Di sebalik persaingan positif di dalam penggunaan media sosial akan timbul juga persaingan negatif apabila penggunaan internet semakin meluas.  Semakin mudah dan meluas penggunaan media sosial maka keselamatan, privasi sesuatu perniagaan semakin terdedah kepada jenayah siber. Jenayah siber merupakan perkara lumrah yang berlaku antara contohnya ialah sabatoj, akaun digodam dan masalah virus. Perkara ini akan menimbulkan pelbagai masalah kepada kedua-dua pihak iaitu peniaga dan juga pelanggan.  Contohnya apabila pelanggan membuat bayaran kepada sebuah syarikat sedangkan akaun syarikat sudah disabotaj ini akan mengakibatkan syarikat terpaksa menanggung kerugian dan reputasi syarikat tercalar. Pelanggan juga akan rasa tertipu dan hilang kepercayaan kepada syarikat tersebut.  Tambahan pula kos membaik pulih akibat daripada  masalah seperti virus, sabotaj agak tinggi dan ini akan memberi kesan kepada sesuatu perniagaan.

FAKTOR-FAKTOR PENDORONG PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL


Kemajuan teknologi dan perkembangan aplikasi web menyebabkan lahir juga persekitaran jaringan sosial dua dan tiga dimensi atau dunia maya berasaskan Internet yang hampir menyamai dunia realiti. Dengan multimedia interaktif, teknik animasi digunakan untuk membentuk jaringan sosial berbentuk dunia maya sosial atau realiti maya. Oleh sebab itu, selain kehidupan realiti atau komunikasi dalam ruang sebenar, orang ramai juga boleh memasuki dunia maya sosial dalam ruang siber. Dengan teknologi ini, komunikasi dan interaksi sosial dalam talian bersifat lebih interaktif dan “hidup”, dan menjadi semakin popular, terutama dalam kalangan pengguna muda.Terdapat pelbagai alasan yang memotivasikan orang-orang yang menggunakan media baharu yang baharu atau media sosial ini. Laman web sosial yang membolehkan pengguna atau ahli membentuk tanggapan, mengekalkan persahabatan, dan mendapat kenalan baharu. Media sosial ini telah digunakan sebagai tempat bagi pengguna untuk bersama-sama dan membina perkenalan, malah semakin digunakan untuk mewujudkan hubungan baharu dan mengembangkan rangkaian sosial yang sedia ada.

            Sokongan dari kerajaan juga merupakan faktor pendorong kepada peggunaan media sosial seperti meningkatkan kelajuan internet.  Apabila media sosial cepat dan mudah diakses  maka  akan memberi kesan positif kepada orang ramai dan perniagaan kerana perniagaan akan dapat memperluaskan jaringan rakan perniagaan, pelanggan dan lokasi pembekalan manakala orang ramai sebagai pelanggan dapat membeli menggunakan media sosial walaupun berada di segenap tempat.di seluruh negara.  Selain dari itu, kepantasan untuk mendapat sesuatu maklumat merupakan faktor pendorong kerana dengan pebagai media sosial yang wujud maka segala maklumat mudah diketahui oleh umum tanpa perlu bersusah payah kerana segalanya hanya dihujung jari ataupan dengan hanya satu klik apa yang diperlukan akan diperolehi.Kemajuan teknologi dan perkembangan aplikasi web menyebabkan lahir juga persekitaran jaringan sosial dua dan tiga dimensi atau dunia maya berasaskan Internet yang hampir menyamai dunia realiti. Dengan multimedia interaktif, teknik animasi digunakan untuk membentuk jaringan sosial berbentuk dunia maya sosial atau realiti maya. Oleh sebab itu, selain kehidupan realiti atau komunikasi dalam ruang sebenar, orang ramai juga boleh memasuki dunia maya sosial dalam ruang siber. Dengan teknologi ini, komunikasi dan interaksi sosial dalam talian bersifat lebih interaktif dan “hidup”, dan menjadi semakin popular, terutama dalam kalangan pengguna muda.Terdapat pelbagai alasan yang memotivasikan orang-orang yang menggunakan media baharu yang baharu atau media sosial ini. Laman web sosial yang membolehkan pengguna atau ahli membentuk tanggapan, mengekalkan persahabatan, dan mendapat kenalan baharu. Media sosial ini telah digunakan sebagai tempat bagi pengguna untuk bersama-sama dan membina perkenalan, malah semakin digunakan untuk mewujudkan hubungan baharu dan mengembangkan rangkaian sosial yang sedia ada.

KESIMPULAN



Perkhidmatan dan juga perkembangan media sosial sememangnya sudah berada pada tahap yang semakin maju dari semasa ke semasa di Malaysia. Dengan kemodenan bidang teknologi telekomunikasi pelbagai usaha dalam bidang perniagaan dapat berkembang. serta dengan inisiatif daripada pihak kerajaan dalam memastikan media sosial ini diimplimentasikan sepenuhnya oleh masyarakat di Malaysia. Pelbagai pelan dan juga pembinaan infrastruktur telah dibangunkan dan akan dibangunkan pada masa akan datang. Ini adalah sejajar dengan perkembangan pesat sistem media sosial yang telah diterapkan oleh beberapa negara maju dan negara lain yang sedang membangun untuk memacu pertumbuhan ekonomi masing-masing. Pihak kerajaan juga telah menyediakan peruntukan yang besar untuk memastikan segala kelengkapan dan juga keperluan dalam sektor yang berkaitan dengan ICT ini dapat dibangunkan dan dapat memberi manfaat yang berguna kepada masyarakat pengguna media sosial di Malaysia khususnya.

          Di samping itu, masyarakat perlulah mengambil peluang dari teknologi media sosial ini dalam memperkenalkan, mempromosikan sesuatu produk dalam meningkatkan kemahiran menggunakan medium media sosial ini. Secara kesimpulannya,  penggunaan media sosial dalam bidang perniagaan secara meluas dan terkawal dengan teknik-teknik yang betul dapat meningkatkan ekonomi individu, rakyat dan negara.